Pages

Powered by Blogger.

Wednesday, 8 October 2014

Cadangan Penambahbaikan Program Kesedaran Alam Sekitar

Penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar adalah penting dan menjadi tanggungjawab kita semua sebagai ahli komuniti. Pendekatan yang memberikan penekanan kepada perubahan minda, sikap dan perlakuan warga SK Taman Semarak ke arah mencintai alam sekitar dilaksanakan kepada peringkat awal iaitu kanak-kanak kerana melentur buluh biar dari rebungnya. Apabila mereka mengamalkan gaya hidup yang mencintai alam sekitar, pastinya amalan ini akan diteruskan sehingga mereka menjadi dewasa kelak.

Ini merupakan kali pertama kami menjalankan Program Kesedaran Alam Sekitar, jadi ada aspek yang masih boleh ditambah baik supaya pada masa akan datang, ia boleh dilaksanakan dengan lebih baik. Kami membincangkan kelemahan-kelemahan yang muncul semasa program dan juga melihat kepada analisis maklum balas daripada pengunjung untuk melihat alternatif bagi penambahbaikan. Antara aspek yang perlu ditambah baik ialah pengisian program dan pengurusan masa.

Dari segi pengisian program, mengikut maklum balas yang diterima, ada sebilangan murid iaitu 9 daripada 100 orang yang menyatakan bahawa pengisian program adalah pada tahap yang memuaskan sahaja. Hal ini berikutan tempoh program yang singkat iaitu hanya dua hari. Pengisian yang dilaksanakan juga kurang mendapat sambutan daripada murid seperti aktiviti membina model jambatan menggunakan bahan terbuang hanya disertai oleh segelintir murid sahaja. Hal ini disebabkan oleh kurang promosi daripada pihak penganjur di mana kami hanya memaklumkan kepada murid semasa perhimpunan pagi dan poster ditampal pada bahagian tertentu di sekolah. Langkah penambahbaikan untuk pengisian program yang lebih baik ialah menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik minat murid seperti penerapan kesedaran melalui permainan dan sebagainya. Untuk promosi, pihak penganjur boleh menampal poster di setiap kelas, mengumumkan hadiah yang bakal dimenangi dan menyediakan token sampingan bagi menarik penyertaan.

Selain itu, dari segi pengurusan masa, kami menghadapi masalah untuk menetapkan tarikh kerana ada program lain yang bertindan dengan program yang kami cuba jalankan. Kami terpaksa menghubungi pihak penceramah dengan kerap untuk menetapkan tarikh yang sesuai. Akhirnya, kami memilih 23 dan 24 Julai 2014 untuk menjalankan Program Kesedaran Alam Sekitar ini. masalah juga muncul apabila Penolong Kanan 1 melarang kami menggunakan waktu pengajaran dan pembelajaran untuk mengadakan program, namun setelah perbincangan, beliau membenarkan kami melibatkan murid dalam program pada waktu selepas rehat dan waktu kokurikulum. Aspek pengurusan masa ini boleh ditambah baik dengan perancangan yang lebih teliti dan sistematik. Hal ini akan mengurangkan sebarang program yang bertindan. Selain itu, bagi mengelakkan gangguan kepada murid dalam masa pengajaran dan pembelajaran mereka, cadangan penambahbaikan yang boleh diambil ialah menyediakan pengisian yang boleh diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran mereka seperti membina poster semasa waktu PSV dan sebagainya.

Melihat kepada program yang dijalankan, masalah lain yang timbul ialah penglibatan murid. Menerusi pemerhatian, semasa penceramah menyampaikan ceramah, ada murid yang tidak mendengar dan membuat perkara lain. Ini disebabkan oleh keadaan tempat yang membuatkan mereka bersesak-sesak dan tidak selesa. Ini akan membantutkan minat mereka untuk mendengar. Cadangan yang boleh diambil ialah memilih tempat yang sesuai atau mengadakan aktiviti yang lebih berpusatkan murid seperti LDK bagi menarik minat murid dan mengelakkan mereka membuat perkara lain.


Kelemahan-kelemahan yang timbul semasa program dijalankan adalah sebagai peluang kepada penganjur untuk menjalankan program dengan lebih baik pada masa akan datang. Diharapkan semoga kesedaran terhadap alam sekitar ini mampu diterapkan dengan berkesan kepada generasi awal ini kerana mereka yang akan membentuk masa depan negara.   

0 comments:

Post a Comment