Pages

Powered by Blogger.

Wednesday, 8 October 2014

Cadangan Penambahbaikan Program Kesedaran Alam Sekitar

Penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar adalah penting dan menjadi tanggungjawab kita semua sebagai ahli komuniti. Pendekatan yang memberikan penekanan kepada perubahan minda, sikap dan perlakuan warga SK Taman Semarak ke arah mencintai alam sekitar dilaksanakan kepada peringkat awal iaitu kanak-kanak kerana melentur buluh biar dari rebungnya. Apabila mereka mengamalkan gaya hidup yang mencintai alam sekitar, pastinya amalan ini akan diteruskan sehingga mereka menjadi dewasa kelak.

Ini merupakan kali pertama kami menjalankan Program Kesedaran Alam Sekitar, jadi ada aspek yang masih boleh ditambah baik supaya pada masa akan datang, ia boleh dilaksanakan dengan lebih baik. Kami membincangkan kelemahan-kelemahan yang muncul semasa program dan juga melihat kepada analisis maklum balas daripada pengunjung untuk melihat alternatif bagi penambahbaikan. Antara aspek yang perlu ditambah baik ialah pengisian program dan pengurusan masa.

Dari segi pengisian program, mengikut maklum balas yang diterima, ada sebilangan murid iaitu 9 daripada 100 orang yang menyatakan bahawa pengisian program adalah pada tahap yang memuaskan sahaja. Hal ini berikutan tempoh program yang singkat iaitu hanya dua hari. Pengisian yang dilaksanakan juga kurang mendapat sambutan daripada murid seperti aktiviti membina model jambatan menggunakan bahan terbuang hanya disertai oleh segelintir murid sahaja. Hal ini disebabkan oleh kurang promosi daripada pihak penganjur di mana kami hanya memaklumkan kepada murid semasa perhimpunan pagi dan poster ditampal pada bahagian tertentu di sekolah. Langkah penambahbaikan untuk pengisian program yang lebih baik ialah menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik minat murid seperti penerapan kesedaran melalui permainan dan sebagainya. Untuk promosi, pihak penganjur boleh menampal poster di setiap kelas, mengumumkan hadiah yang bakal dimenangi dan menyediakan token sampingan bagi menarik penyertaan.

Selain itu, dari segi pengurusan masa, kami menghadapi masalah untuk menetapkan tarikh kerana ada program lain yang bertindan dengan program yang kami cuba jalankan. Kami terpaksa menghubungi pihak penceramah dengan kerap untuk menetapkan tarikh yang sesuai. Akhirnya, kami memilih 23 dan 24 Julai 2014 untuk menjalankan Program Kesedaran Alam Sekitar ini. masalah juga muncul apabila Penolong Kanan 1 melarang kami menggunakan waktu pengajaran dan pembelajaran untuk mengadakan program, namun setelah perbincangan, beliau membenarkan kami melibatkan murid dalam program pada waktu selepas rehat dan waktu kokurikulum. Aspek pengurusan masa ini boleh ditambah baik dengan perancangan yang lebih teliti dan sistematik. Hal ini akan mengurangkan sebarang program yang bertindan. Selain itu, bagi mengelakkan gangguan kepada murid dalam masa pengajaran dan pembelajaran mereka, cadangan penambahbaikan yang boleh diambil ialah menyediakan pengisian yang boleh diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran mereka seperti membina poster semasa waktu PSV dan sebagainya.

Melihat kepada program yang dijalankan, masalah lain yang timbul ialah penglibatan murid. Menerusi pemerhatian, semasa penceramah menyampaikan ceramah, ada murid yang tidak mendengar dan membuat perkara lain. Ini disebabkan oleh keadaan tempat yang membuatkan mereka bersesak-sesak dan tidak selesa. Ini akan membantutkan minat mereka untuk mendengar. Cadangan yang boleh diambil ialah memilih tempat yang sesuai atau mengadakan aktiviti yang lebih berpusatkan murid seperti LDK bagi menarik minat murid dan mengelakkan mereka membuat perkara lain.


Kelemahan-kelemahan yang timbul semasa program dijalankan adalah sebagai peluang kepada penganjur untuk menjalankan program dengan lebih baik pada masa akan datang. Diharapkan semoga kesedaran terhadap alam sekitar ini mampu diterapkan dengan berkesan kepada generasi awal ini kerana mereka yang akan membentuk masa depan negara.   

Analisis Borang Maklumbalas Program Kesedaran Alam Sekitar

ANALISIS MAKLUM BALAS PROGRAM

A) Analisis Latar Belakang Peserta

1) Jantina

Jadual 1 : Bilangan Pengunjung Mengikut Jantina

JANTINA
BILANGAN
Lelaki
44
Perempuan
56
JUMLAH
100

Berdasarkan Jadual 1, ia menunjukkan bilangan pengunjung yang menyertai program kesedaran alam sekitar kami ini iaitu terdiri daripada 44 orang murid lelaki dan 56 orang murid perempuan. Jumlah keseluruhannya ialah seramai 100 orang murid.

2) Kaum

Jadual 2 : Bilangan Pengunjung Mengikut Kaum

JANTINA
BILANGAN
Melayu
91
Cina
1
India
2
Lain-lain
6
JUMLAH
100

Berdasarkan Jadual 2 dan ia menunjukkan bahawa murid-murid yang menyertai program kami ini terdiri daripada pelbagai kaum. 91 orang daripada mereka ialah kaum Melayu, 1 orang kaum Cina, 2 orang kaum India dan 6 orang daripada kaum lain-lain.

B) Analisis Soalan Maklum Balas Pengunjung

SOALAN 1

Apakah pandangan anda secara keseluruhan Program Kesedaran Alam Sekitar?

63 orang murid memberikan pandangan bahawa secara keseluruhannya Program Kesedaran Alam Sekitar ini sangat baik. 26 orang murid pula berpendapat program ini baik. 10 orang menyatakan ianya memuaskan dan hanya seorang murid yang berpandangan bahawa program ini tidak memuaskan.


SOALAN 2

Apakah pandangan anda tentang pengisian program?

Berdasarkan hasil analisis, kami bertanyakan soalan kepada murid tentang pengisian yang telah dilaksanakan dalam program ini. 43 orang murid memberikan pandangan bahawa pengisian program ini sangat baik. 48 orang murid yang lain pula menyatakan pengisian program ini baik. Namun begitu terdapat 9 orang murid yang menyatakan pengisian program ini hanya di tahap memuaskan. Tetapi, tidak ada murid yang mengatakan program ini memberikan pengisian yang tidak memuaskan bagi mereka.


SOALAN 3

Bagaimanakah layanan penganjur?

kami bertanyakan soalan kepada murid tentang bagaimanakah layanan kami sebagai penganjur dalam program ini. 68 orang murid menyatakan layanan kami sangat baik. 23 orang murid pula menyatakan layanan kami dalam program ini baik. Di samping itu, terdapat 8 orang murid yang menyatakan layanan kami berada pada tahap yang memuaskan. Namun begitu, terdapat  1 orang murid yang berpendapat layanan kami dalam program tersebut tidak memuaskan.


SOALAN 4
Adakah selepas terlibat di dalam program ini anda lebih menghargai alam sekitar?

Kami bertanyakan adakah selepas terlibat dengan program ini murid-murid akan lebih menghargai alam sekitar. Hampir keseluruhan daripada mereka iaitu seramai 98 orang murid menyatakan Ya. Mereka lebih menghargai alam sekitar selepas menyertai program ini. Namun begitu, terdapat segelintir murid yang menyatakan Tidak iaitu seramai 2 orang.


SOALAN 5
Adakah anda berminat untuk mengikuti program seperti ini pada masa akan datang?


Bagi soalan ini, kami bertanyakan adakah murid-murid berminat untuk mengikuti program seperti ini pada masa akan datang. Hampir keseluruhan daripada mereka iaitu seramai 94 orang murid menyatakan Ya. Mereka berminat untuk menyertai program seperti ini. Namun begitu, terdapat segelintir murid yang menyatakan Tidak iaitu seramai 4 orang.

Laporan Program Kesedaran Alam Sekitar

LAPORAN PROGRAM
NAMA PELAJAR:                       Nurhazwani binti Hassim         
PROGRAM:                                  8 PISMP Sains
NAMA SEKOLAH:                      SK Taman Semarak
NAMA PROJEK/AKTIVITI:    Program Kesedaran Alam Sekitar
TEMPOH PELAKSANAAN:      23 & 24 Julai 2014
OBJEKTIF:                     
Dalam penganjuran program yang sebegini juga mempunyai objektifnya yang tersendiri. Antara objektifnya adalah seperti:
1. Memupuk kesedaran dan kepekaan terhadap alam sekitar, cabaran-cabarannya serta 
    melahirkan sikap keprihatinan terhadap alam sekitar.
2. Memberi peluang kepada murid-murid mempelajari bagaimana untuk mengitar semula.
3. Menambahkan ilmu pengetahuan murid-murid tentang isu yang berkaitan dengan 
    kepupusan dan kemusnahan ekosistem dan seterusnya berusaha mengelakkannya terjadi.
4. Menggalakkan penglibatan diri secara aktif dalam meningkatkan kualiti alam sekitar.

STRATEGI PELAKSANAAN:
i)             Membuat model jambatan menggunakan bahan terbuang – Semua murid
ii)            Ceramah Kesedaran Alam Sekitar – Penceramah - En. Mohd Iqram b. Ismail (Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam)
iii)           Hari Kitar Semula – Semua murid


LAPORAN:

Program ini melibatkan komuniti sekolah iaitu semua murid dari Tahun 1 sehingga Tahun 6. Ia adalah berkisar tentang usaha dalam memelihara alam sekitar. Selain itu, supaya dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku pada masa kini. Antara usaha yang dilakukan adalah dengan menjalankan Program Alam Sekitar. Di dalam program ini, terdapat 3 aktiviti yang telah dijalankan iaitu Ceramah Kesedaran Alam Sekitar, Pertandingan Membina Model Jambatan Menggunakan Bahan Terbuang  dan Hari Kitar Semula.

Aktiviti yang pertama di dalam program ini adalah Ceramah Kesedaran Alam Sekitar, tajuk ceramah tersebut adalah ‘Pengurusan Sisa Pepejal’. Ceramah ini disampaikan oleh Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), En. Mohd Iqram b. Ismail. Ceramah ini diadakan pada 23 Julai 2014. Masa ceramah ini adalah daripada pukul 12.00 tengah dari sehingga 1.30 tengah hari. Ceramah ini mengambil masa satu jam setengah. Semua murid Tahun 5 terlibat dengan ceramah ini. Daripada ceramah yang telah disampaikan, bukan sahaja murid mendapat manfaat, guru turut mendapat pengetahuan tentang cara-cara pengurusan sisa pepejal, tanggungjawab orang awam dalam membantu pengurusan sisa pepejal, undang-undang berkaitan sisa pepejal dan sebagainya. Semua murid memberi tumpuan yang penuh semasa ceramah disampaikan. Selesai sesi ceramah, sesi soal jawab dibuka. Ramai murid berebut-rebut untuk bertanya kepada penceramah. Penceramah juga mengemukakan soalan kepada murid dan cenderahati diberikan kepada murid yang dapat menjawab soalan dengan betul. Pada akhir sesi ini, kami telah memberikan cenderahati kepada pihak PPSPPA dan penceramah yang sudi hadir untuk memberikan ceramah ini.





Bagi aktiviti kedua pula adalah Pertandingan Membina Model Jambatan Menggunakan Bahan Terbuang. Pertandingan ini dilaksanakan pada 23 Julai 2014 bermula pukul 2.00 petang sehingga 4.30 petang. Pertandingan ini dijalankan di makmal sains. Pertandingan ini mendapat banyak sambutan. Murid daripada pelbagai tahun menyertai pertandingan ini. Hadiah diberikan kepada pemenang yang membina model jambatan yang paling stabil, cantik dan kemas. Antara kekuatannya ialah murid dapat menggunakan kreativiti mereka dalam membina model jambatan yang paling stabil dan kukuh. Selain itu, murid mendapat kesedaran dalam menjaga alam sekitar dengan menggunakan bahan terbuang di rumah mereka untuk membina model jambatan. Jika tidak, bahan yang boleh digunakan hanya akan dibuang ke dalam tong sampah. Hal ini akan menyebabkan sisa pepejal semakin bertambah dan mencemarkan alam sekitar.





Aktiviti ketiga pula adalah Hari Kitar Semula. Aktiviti ini telah mendapat respons yang amat positif daripada murid sekolah ini. Banyak bahan kitar semula yang dikumpul pada Hari Kitar Semula yang dijalankan ini. Menurut Nor Azan Fitri (2014), program kitar semula ini dapat menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar. Ini dapat dibuktikan apabila kami sendiri menjalankan program seperti ini di SK Taman Semarak ini. Program tersebut dapat memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan menjaga bumi dengan menjadikan kebersihan sebagai aspek utama selain menyemai semangat untuk mengurangkan penghasilan jumlah sisa pepejal melalui amalan kitar semula. Aktiviti ini diteruskan dengan menimbang bahan kitar semula sebelum barangan kitar semula itu dijual kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). Pihak PPSPPA telah datang ke SK Taman Semarak bagi mengutip bahan yang telah dikumpul dan dijual kepada pihak mereka. Wang hasil jualan barangan kitar semula telah dimasukkan ke dalam akaun Panitia Sains bagi menjalankan aktiviti-aktiviti sains pada masa akan datang.


Guru pelatih dan guru SK Taman Semarak ini juga telah bekerjasama dan berganding bahu untuk merealisasikan program ini. AJK bagi setiap tugas telah dilantik seperti AJK Dokumentasi, Pengacaraan Majlis, Dokumentasi, Hadiah dan Cenderamata, Kawalan Murid dan lain-lain lagi. AJK sangat komited dan menjalankan tugas dengan baik. Pihak sekolah juga mendapat kerjasama yang baik dari pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) daerah Nilai. Selain itu, program ini juga berjalan lancar dan mengikut peruntukan masa serta tentatif program yang ditetapkan.

KESIMPULAN:

Program ini memberikan banyak manfaat kepada murid kerana mereka dapat mengetahui kepentingan menjaga alam sekitar. Oleh itu, murid dapat mengaplikasikan apa yang telah disampaikan semasa ceramah dalam kehidupan seharian seterusnya menjadi masyarakat yang menghargai, memelihara dan memulihara alam sekitar dengan sebaiknya. Anugerah alam sekitar yang diberikan oleh Allah s.w.t perlu digunakan dengan penuh berhikmah dan bukannya merosakkan nikmat kebaikan alam sekitar yang diberikan.