Penjagaan dan pemeliharaan alam
sekitar adalah penting dan menjadi tanggungjawab kita semua sebagai ahli
komuniti. Pendekatan yang memberikan penekanan kepada perubahan minda, sikap
dan perlakuan warga SK Taman Semarak ke arah mencintai alam sekitar
dilaksanakan kepada peringkat awal iaitu kanak-kanak kerana melentur buluh biar
dari rebungnya. Apabila mereka mengamalkan gaya hidup yang mencintai alam
sekitar, pastinya amalan ini akan diteruskan sehingga mereka menjadi dewasa
kelak.
Ini merupakan kali pertama kami
menjalankan Program Kesedaran Alam Sekitar, jadi ada aspek yang masih boleh
ditambah baik supaya pada masa akan datang, ia boleh dilaksanakan dengan lebih
baik. Kami membincangkan kelemahan-kelemahan yang muncul semasa program dan
juga melihat kepada analisis maklum balas daripada pengunjung untuk melihat
alternatif bagi penambahbaikan. Antara aspek yang perlu ditambah baik ialah
pengisian program dan pengurusan masa.
Dari segi pengisian program,
mengikut maklum balas yang diterima, ada sebilangan murid iaitu 9 daripada 100
orang yang menyatakan bahawa pengisian program adalah pada tahap yang memuaskan
sahaja. Hal ini berikutan tempoh program yang singkat iaitu hanya dua hari.
Pengisian yang dilaksanakan juga kurang mendapat sambutan daripada murid
seperti aktiviti membina model jambatan menggunakan bahan terbuang hanya
disertai oleh segelintir murid sahaja. Hal ini disebabkan oleh kurang promosi
daripada pihak penganjur di mana kami hanya memaklumkan kepada murid semasa
perhimpunan pagi dan poster ditampal pada bahagian tertentu di sekolah. Langkah
penambahbaikan untuk pengisian program yang lebih baik ialah menjalankan
aktiviti-aktiviti yang lebih menarik minat murid seperti penerapan kesedaran
melalui permainan dan sebagainya. Untuk promosi, pihak penganjur boleh menampal
poster di setiap kelas, mengumumkan hadiah yang bakal dimenangi dan menyediakan
token sampingan bagi menarik penyertaan.
Selain itu, dari segi pengurusan
masa, kami menghadapi masalah untuk menetapkan tarikh kerana ada program lain
yang bertindan dengan program yang kami cuba jalankan. Kami terpaksa
menghubungi pihak penceramah dengan kerap untuk menetapkan tarikh yang sesuai.
Akhirnya, kami memilih 23 dan 24 Julai 2014 untuk menjalankan Program Kesedaran
Alam Sekitar ini. masalah juga muncul apabila Penolong Kanan 1 melarang kami
menggunakan waktu pengajaran dan pembelajaran untuk mengadakan program, namun
setelah perbincangan, beliau membenarkan kami melibatkan murid dalam program
pada waktu selepas rehat dan waktu kokurikulum. Aspek pengurusan masa ini boleh
ditambah baik dengan perancangan yang lebih teliti dan sistematik. Hal ini akan
mengurangkan sebarang program yang bertindan. Selain itu, bagi mengelakkan
gangguan kepada murid dalam masa pengajaran dan pembelajaran mereka, cadangan
penambahbaikan yang boleh diambil ialah menyediakan pengisian yang boleh
diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran mereka seperti membina poster
semasa waktu PSV dan sebagainya.
Melihat kepada program yang
dijalankan, masalah lain yang timbul ialah penglibatan murid. Menerusi
pemerhatian, semasa penceramah menyampaikan ceramah, ada murid yang tidak
mendengar dan membuat perkara lain. Ini disebabkan oleh keadaan tempat yang
membuatkan mereka bersesak-sesak dan tidak selesa. Ini akan membantutkan minat
mereka untuk mendengar. Cadangan yang boleh diambil ialah memilih tempat yang
sesuai atau mengadakan aktiviti yang lebih berpusatkan murid seperti LDK bagi
menarik minat murid dan mengelakkan mereka membuat perkara lain.
Kelemahan-kelemahan yang timbul
semasa program dijalankan adalah sebagai peluang kepada penganjur untuk
menjalankan program dengan lebih baik pada masa akan datang. Diharapkan semoga
kesedaran terhadap alam sekitar ini mampu diterapkan dengan berkesan kepada
generasi awal ini kerana mereka yang akan membentuk masa depan negara.